ilmu sains vs ilmu wahyu


Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh...

Sudah terlalu lama rasanya diri ini tidak meng-update blog yang serba kekurangan ini. Malam ini terdetik sedikit rasa untuk memperkatakan sedikit tentang beberapa isu semasa yang berlaku di sekeliling kita sebagai satu pandangan peribadi.

Alhamdulillah, pada minggu lepas saya dan sahabat saya, Saudara Fiqri Amran sempat menghadirkan diri ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud di Kuala Terengganu untuk mengucapkan selamat jalan kepada Saudara Haziq Alias, seorang sahabat saya yang akan merantau ke Mesir untuk mendalami ilmu perubatan di salah sebuah universiti di sana. Semasa saya tiba di sana saya melihat ramai sekali anak-anak muda dari negeri ini yang akan merantau di Mesir menaiki penerbangan yang sama dengan sahabat saya itu. Menurut sahabat saya, ada di kalangan mereka akan menuntut ilmu perubatan di sana dan sebahagiannya pula akan ke Al-Azhar untuk mendalami ilmu agama daripada tokoh-tokoh ilmuan di bumi ambia’ itu.

Di kesempata itu juga kami terserempak dengan Saudara Abdul Manaf iaitu sahabat kami semasa di SHAMS dahulu (beliau ke al-azhar selepas menamatkan pengajian di Maahad Tahfiz, Kuala Terengganu) bahkan kami juga ditegur oleh junior-junior kami semasa di sana. Diantara mereka ada yang akan ke Mesir untuk melanjutkan pelajaran di Al-Azhar dan ada yang akan ke Jordan untuk belajar perubatan. Mereka menaiki penerbangan yang sama.

Di sana saya sempat berbual dengan beberapa orang kenalan yang akan ke sana. Ramai diantara mereka sudah mengenali antara satu sama lain. Kekok rasanya ketika berdiri bersama bakal-bakal doktor dan ustaz bahkan ulama’ yang bakal berkidmat di negeri ini satu hari nanti. Terasa diri ini seorang faqir ilmu jika dibandingkan dengan mereka. Mudah-mudahan saya juga akan mengikuti jejak langkah mereka. Ketika itu saya diberitahu bahawa ada diantara mereka yang diterima masuk di Al-Azhar tetapi tidak mendapat sebarang tajaan bahkan pinjaman daripada badan-badan kerajaan ataupun swasta di negara ini. Seperti yang kita maklum, untuk diterima masuk di university tertua di dunia itu bukanlah sesuatu yang mudah dan hanya orang-orang yang hebat sahaja diterima masuk. Walau bagaimanapun mereka tetap pergi dengan perbelanjaan sendiri. Terasa sebak dalam hati ketika itu (bahkan ketika menulis entri ini saya masih terasa) kerana ibu bapa mereka sanggup menginfaqkan sebahagian harta mereka demi melihat anak kesayangan melangkah masuk ke Al-Azhar. Mungkin ada diantara mereka yang sanggup menjual tanah dan sebagainya untuk itu. Jika saya berada di tempat mereka saya juga akan melakukan perkara yang sama. Sebenarnya mereka sedang menginfaqkan harta mereka di salah satu jalan Allah. Ketahuilah usaha kalian tidak akan sia-sia jika kalian ikhlaskan hati kerana Allah. Semoga Allah merahmati usaha kalian.

Terdetik juga dalam hati kenapa mereka tidak mendapat sebarang bantuan daripada pemerintah negeri dan negara ini yang sepatutnya mereka dapat seperti mereka yang belajar ilmu sains seperti perubatan dan kejuruteraan. Bahkan mereka sepatutnya didahulukan daripada orang lain kerana mereka sedang mendalami ilmu Allah dan mereka bukanlah datang daripada keluarga yang senang. (Kalian yang telah mendapat tajaan untuk belajar ilmu sains saya ucapkan tahniah kerana urusan kalian dipermudahkan oleh Allah jua dan kalian wajib syukur untuk itu. Kalian sedang mendalami ilmu fardu kiyah untuk menjaga kemaslahatan ummah). Sungguhpun kerajaan tidak mampu membiayai perbelanjaan mereka daripada hasil pendapatan negara seperti cukai dan sebagainya, apalah salahnya jika sedikit perolehan zakat di negara ini diberikan kepada mereka kerana mereka juga termasuk dalam asnaf zakat iaitu golongan ibnu sabil (orang yang sedang berada di jalan Allah seperti menuntut ilmu agama).

Pelbagai andaian singgah di benak fikiran saya. Saya merasakan kebenaran nasihat-nasihat dan pesanan yang mengatakan jika kita ingin berada di jalan Allah kita akan menempuhi pelbagai kesukaran kerana iman kita sedang diuji. Oleh itu hanya yang teguh iman akan mampu menaghadapinya kerana itu sahajalah pegangan demi memujuk diri supaya bersabar apabila diuji oleh Allah. Ada beberapa lagi andaian yang saya rasakan. Walau bagaimanapun saya tidak berhajat untuk munulisnya di sini. Biarlah ianya kekal sebagai andaian sahaja.

Semoga Allah merahmati saya dan kalian semua.

wassalam.